BIOGRAFI DAN LATAR BELAKANG SAIYIDINA UMAR AL-KHATTAB RA.
Biodata SAIYIDINA UMAR AL-KHATAB
ra.
Nama
sebenar :
Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah bin Abdillah bin Qarth
bin Razaah bin 'Adi bin Kaab
Nama
Ibu :
Hantamah bte Hasyim bin Al-Mughirah bin Abdillah bin Umar bin Makhzum.
Gelaran :
Al-Faruq
Keturunan :
Arab Quraisy (Kabilah Bani Adi)
Tarikh
lahir :
13 tahun selepas berlakunya peristiwa Abrahah (menurut Imam Nawawi)
Jawatan
: Khalifah Ar-Rasyidin Kedua
Tarikh
Lantikan :
634M
Tempoh
Jawatan
: 10 tahun
Tarikh
M/Dunia :
23H @ 644M
Umur :
63 tahun
Semasa sebelum memeluk Islam,
beliau merupakan duta bagi kaumnya terutama untuk mengadakan perundingan antara
kabilah yang bermusuhan. Beliau merupakan mertua Rasulullah SAW apabila
Rasulullah bernikah dengan anaknya, Hafsah bte Umar. Beliau salah seorang yang
dijamin Syurga oleh Rasulullah SAW.
Sifat Peribadi Umar al-Khattab
Ubaidullah bin Umar menceritakan
bahawa suatu hari para sahabat melihat Umar memikul tempat air di bahunya. Lalu
mereka bertanya : "Wahai Amirul Mukminin ! Mengapa tuan sendiri yang
memikul air ini ?" Jawab Umar al-Khattab : "Saya
merasakan bahawa diri saya telah takbur, lalu saya mengangkat air ini untuk
menundukkannya"
Kata Aslam beberapa orang berbicara
dengan Abdul Rahman bin Auf. Kata mereka : "Umar al-Khattab telah
menimbulkan rasa takut kami sehingga mata kami tidak berani bertentangan mata
dengannya". Hal ini diadukan oleh Abdul Rahman bin Auf. Lalu Umar
al-Khattab berkata : "Benarkah mereka berkata demikian ?" "Demi
Allah, saya telah cuba melunakkannya, sehingga lantaran lunak saya itu saya
takut dimarahi Allah. Saya cuba pula dengan sikap keras sehingga saya takut
Allah marah kepada saya. Bagaimanakah lagi ? Bagaimana nasib saya yang berbeza
dengan mereka ?"
Diriwayatkan oleh Umar
bin Murrah bahawa seorang lelaki bertemu dengan Umar al-Khattab dan
berkata : "Bersikap lunaklah kepada kami, sebab kami amat gentar melihatmu
!" Umar menjawab : "Adakah saya berbuat sesuatu yang zalim ? "
Jawab lelaki itu : "Tidak" Kata Umar lagi : "Kalau begitu, biarlah
Allah menambah rasa takut dalam hatimu terhadapku"
Menurut Barrak bin Makrur :
"Pada suatu hari Umar al-Khattab naik ke mimbar untuk memberi tazkirah,
tiba-tiba dia merasa sakit. Menurut para jamaah, ubatnya adalah madu lebah dan
di Baitulmal banyak tersimpan madu lebah" Kata beliau : "Kalau
tuan-tuan izinkan, saya akan gunakannya, tetapi kalau tidak diizinkan haram ke
atas saya mengambilnya.
Keislaman Saidina Umar
Beliau memeluk Islam pada tahun ke
6 kenabian ketika berumur 27 tahun. Tindakannnya ini mengemparkan masyarakat
Quraisy dan memberi berita gembira kepada umat Islam bahawa Islam akan menjadi
kuat.
Rasulullah SAW pernah berdoa ;
"Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b.
Hisyam" Hadtih riwayat At-Thabarani
Dalam sebuah hadith lain yang
diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa :
"Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab"
Sebuah hadith dari Ibnu Abbas yang
diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata : "Apabila Umar
memeluk Islam, Jibrilpun datang dan berkata : "Ya Muhammad, sesungguhnya
seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar"
Setelah memeluk Islam, Rasulullah
SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara
perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia
mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar menjawab : "Pada suatu hari, Aku
bertanya kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam
kebenaran ?"
Jawab Rasulullah SAW :
"Benar"
Aku berkata lagi : "Kenapakah
kita beribadah secara sembunyi ?"
Kemudian kami masuk ke Masjidil
Haram membuat dua syaf, satu saya dan satu lagi Saidina Hamzah (berjemaah).
Maka semua orang KAFFIR Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan
yang sangat marah yang tidak pernah mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah
SAW mengelarkan aku Al-Faruq !
Dengan islamnya Umar, maka umat
Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani
solat secara terang-terangan di BaitulLah khususnya
setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani
menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.
Keberanian Umar
Peristiwa yang menarik
perhatian kafir Quraisy Makkah ialah apabila Saidina Umar Al-Khattab mengambil
langkah untuk berhijrah secara terang-terangan, berbeza dengan pendirian para
sahabat yang lain yang terpaksa berhijrah secara rahsia.
Umar Al-Khattab terkenal sebagai
seorang yang berani semasa kafir dan bertambah
berani sesudah beriman. Pada detik-detik terakhir sebelum meninggalkan kota
Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Saidina Ali r.a. yang menyaksikan peristiwa
tersebut, meriwayatkan: Setelah saidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah,
beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya, kemudian
dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam
ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaa'bah. Ketika itu tokoh-tokoh
Quraisy sedang bersantai di sisi Ka'abah menyaksikan kehadiran Umar.
Saidina Umar melakukan tawaf tujuh
kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir
Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke
Maqam Ibrahim dan mendirikan solat.
Selesai solat, Umar berdiri di sisi
Maqam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak
kuffar Quraisy. kata Umar: "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan
wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi
agama Allah."
Kata Umar lagi: "Barangsiapa
yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan
anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan
isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita adu
senjata di sebalik bukit ini."
Cabaran Saidina Umar terhadap
tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran Umar dengan pedang terhunus itu,
ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka
mendengar cabaran yang begitu hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun
yang berani menyahut cabaran Umar berlawan senjata.
Dari sudut psikologi, cara Umar
mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang pahlawan yang bersedia untuk mati,
menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun
Umar mengutuk mereka sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam
keadaan puak Quraisy lemah semangat, Umar mengajaknya adu senjata.
Saidina Ali r.a. yang turut
mendengar kata-kata Umar itu berkata: Sesudah itu Umar melangkahkan kaki meninggalkan
kota Makkah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun
peristiwa itu memberi seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari
kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan
kota Makkah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke
Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang gangguan.
Berikutan dari peristiwa itu, maka
kaum muslimin Makkah telah menyahut seruan hijrah. Sehingga tiada lagi para
penyokong Nabi s.a.w. yang tinggal di Makkah, kecuali Nabi s.a.w., Saidina Abu
Bakar As-Siddiq. Saidina Ali bin Abi Talib, selain itu orang-orang yang sakit,
mereka yang tidak kenderaan dan keupayaan berhijrah dan mereka yang dikenakan
tahanan oleh pihak Quraisy, akibat tindakan mereka menyahut seruan Islam
Hadith tentang Umar
1. Semasa tidur, aku bermimpi
bahawa aku berada dalam Syurga. aku lihat seorang perempuan sedang berwudhuk
dekat sebuah istana. Aku bertanya untuk siapa istana ini. Katanya : Untuk
Umar" Hadith riwayat Shiekhaini (Bukhari dan Muslim)
2. Sesungguhnya Allah menjadikan
lidah dan hati Umar itu di atas kebenaran. Hadith riwayat At-Turmizi
3. Sekiranya selepas aku ada nabi,
sudah pasti Umarlah orangnya. Hadith riwayat At-Turmizi
4. Sesungguhnya aku lihat
syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia lari lintang pukang dari Umar.
Hadith riwayat At-Turmizi
5. Umar cahaya bagi penduduk
Syurga.
6. Semua malaikat di langit
menyayangi Umar dan semua syaitan di dunia melarikan diri dari Umar
7. Sesungguhnya ada seseorang di
kalangan umat sebelum kamu yang menjadi sebutan ramai (kerana kebaikannya),
jika perkara ini terjadi dalam umat Islam, sudah tentu Umarlah orangnya. Hadith
riwayat Bukhari.
8. Tidak ada sesuatu perkara yang
diperkatakan oleh orang ramai dan kemudian diperkatakan oleh Umar, nescaya
turunlah al-Quran sebagaimana yang dilafazkan oleh mulut Umar. (Kata-kata
Abdullah bin Umar)
Umar Sebagai Orang Yang Pertama
1. Pertama digelar Amirul Mukminin
2. Pertama menggunakan Hijrah
sebagai kalendar Islam
3. Pertama mengenakan pukulan 80
kali ke atas peminum arak
4. Pertama mengharamkan nikah
mut'ah
5. Pertama mewajibkan zakat ke atas
kuda
6. Pertama menubuhkan
jabatan-jabatan
7. Pertama sunatkan Qiyyam Ramadhan
8. Pertama mengarahkan solat
Jenazah berjemaah dengan 4 takbir
9. Pertama memperkenalkan Al-'Aul
dalam masalah Faraid (harta pusaka)
Umar Dan Al-Quran
Saidina Umar Al-Khattab mempunyai
pemikiran yang sangat hebat. Beberapa pendapatnya merupakan sebab turunnya
al-Quran. Di antara ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sempena pendapat beliau
ialah :
1) Kisah tawanan Badar -
ayat 28 Surah Al-Anfal
2) Ayat Menjadikan Maqam Ibrahim
sebagai tempat solat - Ayat 125 Surah Al-Baqarah
3) Ayat Hijab - Ayat
53 Surah Al-Ahzab
4) Ayat tentang asal-usul kejadian
manusia - Ayat 12 Surah Al-Mukminun
>5) Ayat tentang
arak - Ayat 219 Surah
Al-Baqarah dan Ayat 43 Surah An-Nisa'
6) Ayat Larangan Mensolati Jenazah
Orang Munafiq - Ayat 84 Surah At-Taubah
7) Kisah orang Munafiq - Ayat 6
Surah Al-Munafiqun
8) Ayat 5 Surah Al-Anfal
9) Ayat 16 Surah An-Nur
10) Ayat tentang penghalalan jima'
di malam bulan Ramadhan - Ayat 187 Surah Al-Baqarah
11) Ayat 97 Surah
Al-Baqarah
12) Ayat 65 Surah
An-Nisa'
13) ayat 13 Surah Al-Waqiah
Sumber :
http://www.islam2u.net
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Dilarang menggunakan unsur SARA